N O V E L
bukanlah gedung ilmu?
Amat damai ku rasakan… Udara nyaman dan lembut membelai pipi ini. Ya… memang nyaman sekali. Sesekali sejuk juga. Air sungai agak jernih pagi ini. Biasanya memang begitu, sungai akan sedikit jernih apabila air di hilir datang ke hulu, air pasang waktu pagi. Matahari naik tinggi segalah. Ini waktu Dhuha! Mata ini teralih ke seberang sana… Kampung ku dengan kampung sebelah dipisahkan oleh sungai jernih ini. Namun ia tidaklah terlalu lebar untuk direnangi. Insya Allah sampai ke seberang. Pohon-pohon rengas dan batang-batang buluh memang indah ditebing-tebing sungai seberang. Memang indah. Subhanallah ia memang indah…
“Assalamualaikum…”
“Wa’alaikummussalaam… Ustaz buat apa kat sini? Saya tengok macam orang muda pula ustaz”
“Bukan orang muda… kalau nak jogging kene lah pakai baju sukan, takkan nak pakai kain pelekat… Hafiz buat apa kat sini?”
“Ambil udara pagi tepi sungai sekali sekala…”
“Kat tangan tu apa? Macam kitab je, tapi kalau kitab warnanya lain sikit…”
“Oh… ni novel ustaz, kawan saya yang suruh saya baca… Kalau ikutkan malas jugak nak baca… Ye lah, bukan nipis… Ingat sambil duduk tepi sungai ni, nak baca sikit-sikit buku ni”
Sekali dahi ustaz berkerut. Mungkin dia terkejut dengar saya baca novel.
“Kenapa ustaz lain macam je…?”
“Hafiz nak baca novel kene hati-hati sikit… Novel membawa ideologi. Novel boleh mengubah pandangan seseorang, ia juga mampu mempengaruhi keputusan seseorang.”
Biar bertapis.
Memang tidak dihalang sesiapa sahaja untuk meminati novel. Apa sahaja novel. Memang benar… memang tidak dilarang. Tetapi biar bertapis, biar berlapik. Begini, sekarang begitu ramai sekali penulis dan sudah tentu begitu banyak sekali novel terhasil. Tidak semua penulis menghargai nilai seni mengolahkan cerita yang dizahirkan pada dirinya untuk menghasilkan karya yang bermanfaat dan berbentuk dakwah. Jika diperhatikan nukilan-nukilan mereka sukar untuk melalui gelora dan gelombang semasa. Beberapa kerat sahaja yang terlepas dari gelombang itu. Gelombang? Ya, ia gelombang kemusnahan fikiran dari jernih kepada kotor, dari suci kepada keji. Mungkin benar jika dikatakan hanya orang-orang yang kental sahaja yang mampu menjadi pembaca dan menghabiskan 300 muka surat novel, dan sudah pasti ada suatu yang menarik pada novel tersebut yang membuatkan pembaca tadi menjadi penggemar novel seterusnya menghabiskan novel tersebut dengan cepat. Atau tidak mustahil jika dia mengulang setidaknya sekali untuk kali keduanya. Apapun harus diingatkan, membaca novel perlu bertapis dan perlu dipilih. Tidak semuanya membawa kebaikan.
Berpengaruh
Pengaruh yang ada pada novel sebenarnya besar sekali kesannya pada diri pembaca. Perumpamaan yang boleh diserasikan dengan tohmahan ini antaranya pada nilaian pembaca novel tersebut. Cuba andaikan seorang yang dilanda ribut cinta yang mungkin menggerunkan, dan ia terbaca suatu novel yang entah bagaimana begitu selari dengan jalan cerita hidupnya sekarang, sudah pasti apa yang ada pada novel tersebut akan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Memang ia akan mempengaruhi.
Bukan gedung ilmu
Sebab itu saya akan katakan yang novel ini bukanlah suatu yang ilmiah atau dalam bahasa mudahnya ia bukanlah gedung ilmu. Walaupun mungkin penulisnya agak disanjungi tinggi oleh manusia semasa, tetapi usah jadikan novelnya sebagai bahan rujukan. Rujukan yang utama tetap pada yang lebih fakih, karangan-karangan ustaz-ustaz atau lebih mendalam lagi pada kitab-kitab ulama. Pastikan diri anda sudah mempunyai ilmu yang agak cukup sebelum bersedia untuk membaca novel walaupun ia sekadar aktiviti santai.
Terseleweng
Saya amat bimbang dengan situasi apabila novel menjadi bahan bacaan yang keterlaluan pada sesetengah orang, dan banyak masa dihabiskan untuk itu. Sebenarnya, novel hanyalah untuk santaian sahaja atau kalau dahulunya ia dipanggil hikayat-hikayat. Bertambah kebimbangan saya pada mereka yang mengambil isi kandungan secara terus tanpa mengkajinya terlebih dahulu, terutamanya pada hal-hal berkaitan dengan agama. Sebab saya ingin ingatkan kembali, penulis yang mempunyai gerak fikir yang hebat untuk menghasilkan jalan cerita yang dikatakan menarik tidak semestinya mempunyai pengetahuan Islam yang benar, atau benar-benar mantap, dan akibatnya tulisan yang dihasilkan akan tempang dan bercelaru. Ini akan mempengaruhi pembaca.
Mungkin contoh
Sekarang fahaman Islam telah banyak wujud, dan apa yang benar adalah ahli sunnah wal jamaah. Jangan pandang mudah pada novel dan keupayaannya, ia sama seperti cerita-cerita di televisyen. Ini semua mampu membawa budaya dan agama. Islam liberal merupakan suatu ‘agama’ baru yang membawa kepada fikiran terbuka secara melampau. Ada sesetengahnya membawa kepada konsep persamaan agama, dan lain-lainnya. Jika dihuraikan di sini mungkin begitu banyak sekali. Tetapi rasanya cukuplah sekadar untuk saya menimbulkan suatu gertakan kepada semua hati agar ada sedikit risau dan gusar dengan isu yang kononnya remeh pada mata sesetengah pihak.
Tetapi
Tetapi, saya tidak bersetuju untuk mengatakan bahawa semua novel mempunyai nilai yang rendah. Seperti contoh ada sesetengah novel berbentuk motivasi dan pengolahan untuk panduan sesetengah pihak. Unsur dakwah diterapkan dalam novel dan ini membantu perkembangan dakwah yang lebih luas lagi. Ada sesetengahnya membantu pembaca memahami beberapa konsep seperti konsep takdir, jodoh dan qada’ dan qadar. Walau bagaimanapun novel yang hendak dibaca perlu dipilih… Jangan buang masa dan duit dengan novel-novel yang ‘kosong’.
Wallahua’lam
cerita hafiz dan ustaz tu hanyalah rekaan sahaja. pembuka bicara. sesiapa yang ada komen dan pandangan, kongsilah dengan kami.
Wallahua’lam
saya sebenarnya kurang minat membaca novel. mungkin disebabkan ia selalunya nampak “terlalu tebal” kadang2 tu untuk saya membacanya selain dari inputnya yang kurang.huhu.
hm..saya nak tanya apa pandangan anda mengenai novel ayat2 cinta. pada pendapat anda apakah perkara utama yang ingin penulis lontarkan kepada pembaca? saya belum dapat membaca novel tersebut, tapi telah menonton filemnya.
Ramai yang telah membaca novel tersebut, dan saya ada juga meminta mereka menceritakan sedikit mengenai isinya. tapi, tetapi kebanyakannya tidak menjelaskan content sebenar cerita
nemo,
tentang kisah ayat-ayat cinta, memang ramai yang mengkajinya disebabkan ramai yang agak terpaut dengan kisah ini. saya tak berani untuk membuat ulasan novelnya sebab saya belum pun membacanya. tapi sudah pasti jalan cerita filemnya berdasarkan novelnya walaupun ada sedikit kelainannya, sebab pengarah filem bukannya penulis novel.
jadi mungkin kita boleh berkongsi pendapat tentang intipati filem ayat-ayat cinta. dan untuk sesiapa yang telah membaca novelnya, mungkin boleh berkongsi pandangan.
tentang filemnya, watak utama, fakhri dikatakan terlalu kuat imannya, dan pelajar azhar yang tekun.
ini kisah cinta, dan apa yang saya perhatikan mesej yang ingin disampaikan adalah kemurnian cinta itu sendiri. ini juga kisah jodoh. jodoh sudah ada sejak kita lahir lagi, tapi siapakah jodoh kita… itulah persoalannya. fakhri amat menjaga soal ini.
aisyah pula memang seorang yang baik sekali, taat pada agama dan suaminya, fakhri. pengorbanan aisyah memang banyak terutamanya dari segi pengorbanan perasaan. mungkin ia sedikit cemburu, sebab sayangkan fakhri. dan maria amat cintakan fakhri sehinggakan ia jatuh sakit setelah mendapati fakhri telah berkahwin dengan aisyah. ia juga telah menjadi mangsa kemalangan yang disengajakan. dan dikatakan disini, aisyah yang terlalu sayangkan suaminya, sanggup membenarkan fakhri melafazkan ayat-ayat cinta pada maria seterusnya mengahwini maria.
takdir, maria telah semakin sembuh dengan azimat ayat-ayat cinta itu.
namun….
apa yang saya gusarkan?
cuba perhatikan, bagaimanakah fakhri boleh mengahwini maria sedangkan maria belum lagi Islam. sebab maria belum sedar dari koma, dan belumpun mengucap dua kalimah syahadah..
bagaimana watak maria lebih menonjol atau ditonjolkan sedangkan bagi saya aisyah merupakan muslimah yang lebih baik. aisyah menjaga adab-adab Islam. dia juga amat menyayangi fakhri yang telah menjadi suaminya yang sah. ia selari dengan kehendak Islam.
tapi mungkin maria mempunyai darjat cinta yang lebih tinggi? atau kerana minatnya terhadap Islam?
dan yang paling saya bimbangkan…
filem ini seperti ingin membawa suatu ideologi atau pemikiran terhadap kebebasan. kebebasan yang tidak dibenarkan. Islam liberal…
bagaimana seorang muslim boleh mengahwini seorang kafir? tapi dalam Islam liberal ia dibenarkan… walau bagaimanapun, Islam liberal ini adalah agama baru…
jadi dibimbangi, remaja-remaja yang sedang dilamun cinta, pasti dipengaruhi jika tiada tapisan dalam dirinya untuk menilai semua ini.
Wallahua’lam…
tentang perkahwinan maria dengan fahri, bagaimana jika dikatakan ia adalah dibolehkan kerana berkahwin dengan ahli kitab? maaf, saya tidak arif mengenai hal ini, iaitu tentang status adakah maria boleh diklasifikasikan sebagai ahli kitab yang sebenar. Namun saya pernah mendengar perbincangan bahawa dibolehkan untuk berkahwin dengan mereka. Tapi, terdapat juga perselisihan pendapat, adakah masih terdapat ahli kitab pada masa kini.
seingat saya, dari cerita, maria kenal keindahan islam dari fahri secara tidak langsung. Dia jatuh hati pada islam dahulu, sebelum dia jatuh hati pada fahri. tapi, cintanya kepada manusia menyebabkan dia hampir lemas, lalu fahri menyelamatkan maria atas permintaan aisyah. maria akhirnya tersedar akan maksud cinta yang sebenar, lalu kembali kepada Tuhannya.
kata ustaz hasrizal semasa saya menghadiri kuliahnya, kemuncak kepada kisah tersebut adalah ketika mana fahri berada di dalam penjara, iaitu dialog fahri bersama orang tua. ya, saya sangat2 terkesan dengan dialog mereka. komen ustaz hasrizal lagi, penulis buku tersebut bukan orang biasa2 untuk menulis karya cinta yang tiada makna.. bagi saya, banyak maksud tersirat yang ingin dilontarkan penulis, tapi seperti kata saudara pasti ada kelainannya dengan filem, kerana pengarahnya tidak sama. jadi, mungkin apa yang ingin disampaikan penulis tidak dapat diolah sebaiknya dalam cerita, lalu tidak sampai mesej yang sebenarnya.
seperti yang diketahui, penulis buku tersebut adalah dari indonesia. Saya ada mendengar bahawa serangan islam liberal di sana jauh lebih hebat dan dahsyat dari di Malaysia. Namun, saya tidak pasti ideologi penulis buku tersebut yang sebenarnya..
Em, dari pemahaman saya kafir itu adalah yang menentang islam, tapi maria tidak begitu. Dia amat patuh akan agamanya dan sudah dekat dengan islam setelah dia mengenali hati budi fahri.. mungkin dalam islam liberal ia berbeza. Dibolehkan berkahwin dengan bukan islam, kerana pada pemahaman mereka, beragama itu hak masing2.tiada masalah jika berbeza agama suami isteri. mereka hanya memandang nilai kehidupan semata2. ia agak berbeza dalam cerita ini, kerana perkahwinan fahri dengan maria atas desakan aisyah kerana islam itu telah berada di dalam diri maria.
Wallahua’lam
Novel (terutamanya novel cinta) buat remaja sering berangan.Berdasarkan survey tak rasmi yg pernah ana buat,pembaca begitu menghayati setiap jalan ceritanya.Jadi sbb tu walau setebal mana pun novel tersebut akn cuba dihbskan.
Benarlah,jika tersalah pilih novel,maka rosaklah fikiran kita.Cinta antara manusia yg akan di agung2kn.
Dua novel yg ana pernah baca yg ana rasa mampu mendidik hati
1)Tautan Hati
2)Ayat2 cinta (movie dia kurang skit )
InsyaAllah mgkin boleh mjdi bacaan pada para remaja yg ingin tahu bgaimana pgaulan antra lelaki dan perempuan spatutnya.(sbb remaja skrg bgitu concern dgn benda ni )
Hnya pndpat peribadi.
Wallahulam
Terima kasih atas komen kalian…
Alhamdulillah, saya telah mula membaca novel ini dan sekarang baru nak masuk bab 8 (getaran cinta).
Saya ingin memuji bagaimana penulis mengolah jalan cerita yang amat menarik sekali, dan dalam masa yang sama telah memasukkan begitu banyak dakwah-dakwah berkaitan ilmu, penggunaan masa, cara mengambil hati, menghormati guru dan motivasi dalam mencari ilmu.
Alhamdulillah… memang benar ia amat berbeza dengan cerita dikaca tv. dalam novel ia diolah dengan detail sekali, dan ia lebih terang dan jelas jalan ceritanya. saya dapat kenal siapakah fahri yang sebenarnya dan lain-lainnya melalui novel ini.
Apapun, setakat pembacaan saya sehingga ini, saya sedikit teruja untuk menyarankan rakan-rakan jika ada masa lapang boleh menjengok novel ini..
[to nemo]
Saya pernah bertanya tentang seorang rakan, dia berkata fatwa terbaru mengatakan tidak boleh berkahwin dengan ahli kitab. Sekarang, terlalu sukar untuk menjumpai dan mengatakan seseorang itu adalah ahli kitab. kebanyakannya berpegang dengan kitab yang telah diubah suai dengan kehendak nafsunya.
[to ukhti_nh]
Saya bersetuju, bahawa novel ini agak berbeza dengan kebanyakan novel cinta lain. ia boleh dijadikan alternatif kepada peminat novel untuk membaca novel islamik. walau bagaimanapun, sekali lagi, saya berpendapat bahawa apapun ilmu perlu ada untuk membuat penilaian terhadap apa yang dibaca. sebab bagi saya, ia bukan sumber ilmu yang utama tetapi ia tetap membantu.
Wallahua’lam..
salam alaik..
novel..
ana bukanlah peminat setia novel tapi hanya beberapa novel dan lihat pada pengarang..
novel karangan habiburrahman el-shirazy, antara karya beliau adalah ayat-ayat cinta, memang terkesan.
novel islamik pertama yang ana baca dan menyentuh hati ana membuatkan ana terpengaruh dan semakin minat pada karya-karya beliau dan nukilan mana -mana karya islamik lain..
memang benar pengarang punya ideologi tersendiri, lahirnya ideologi dan terhasillah pelbagai karya dari pelbagai penulis..
tidak membidas pendapat saudara hafiz mengenai ulasan novel,
ana ingin mengajak saudara dan sekalian,
novel lain yang menarik pasti meberikan impak positif pada diri,
marila membaca novel tautan hati karya fatimah syarha, ketika cinta bertasbih&diatas sejadah cinta karangan habiburrahman el shirazy, published sudah agak lama tapi hanya sekadar mengajak untuk membaca..
salam untuk semua
baca
[to Husna]
Wa’alaikummussalaam…
Alhamdulillah… Dgn izin Allah taala, ana telah diberi kesempatan untuk menghabiskan novel ini (novel ayat-ayat cinta) pada 30hb Oktober 2008.
Ana berpendapat, novel ini memang baik dengan isi kandungan yang memang menarik dan berilmu. Jalan ceritanya dihuraikan dengan begitu teliti sekali. Bagi yang berimaginasi tinggi mungkin mampu membayangkan keadaan dalam cerita yang ingin disampaikan penulis.
Satu hal lagi, sememangnya perbezaan jalan cerita dan watak antara novel dan movie memang ketara.
Pendapat ana… Fahri menikahi Maria, dan pernikahannya tidak sah. Kerana Maria belum Islam. Dan walaupun dikatakan Maria ahli kitab, tapi bagaimana mungkin Maria bermimpi dia dihalang dari memasuki syurga? Sudah tentu ada hal yang menghalangnya. Setelah sedar dari mimpi panjang tersebut, Maria diajar mengucap dan berwudu’. Setelah itu, Maria kembali pada Pencipta.
Terima kasih atas komen saudari dan semuanya…
Alangkah indahnya ketenangan yang dipaparkan. Bagaimanakah agaknya cara terbaik untuk memperolehnya. Sudah tentu ia bukanlah suatu yang mudah. Perlukan pengorbanan….
Wallahua’lam…. sediakan ilmu sebelum menerokai novel… selamat mengkaji.
saya tertarik untuk menyambung semula sedikit perbincangan mengenai isu perkahwinan maria dan fahri serta persoalan tentang ahli kitab. Saya ada menanyakan pendapat mengenai isu ini kepada sesorang yang lebih arif mengenainya dan saya nak share jawapan kepada persoalan ini supaya boleh dikongsi oleh semua..
Adakah maria boleh diklasifikasikan sebagai ahli kitab dan adakah maria boleh dikahwini oleh fahri?
“Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kahwin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik. Barangsiapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima hukum-hukum Islam) maka hapuslah amalannya dan ia di hari akhirat termasuk orang-orang merugi.” (Al-Maidah 5:5)
Dengan merujuk kepada ayat di atas, maria merupakan seorang perempuan kristian, maka dia merupakan ahli kitab. jadi fahri dibenarkan untuk berkahwin dengannya.
Adakah masih terdapat ahli kitab di wujud pada masa kini kerana penyelewengan telah dilakukan kepada injil yang asal. Injil yang tinggal kini adalah berbeza dengan yang dulu.
Mari kita lihat pula kepada ayat2 berikut, kepada siapakah sebenarnya ayat2 ini ditujukan?
“Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis Al Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu dikatakannya: “Ini dari Allah”, (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan besarlah bagi mereka, akibat dari apa yang mereka kerjakan.” (al-Baqarah 2:79)
“Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu, dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya Al Masih, `Isa putera Maryam itu, adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimat-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam, dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”, berhentilah (dari ucapan itu). (Itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukuplah Allah sebagai Pemelihara.” (an-Nisa’ 4:171)
“Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus.” (al-Maidah 5:77)
“Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mengingkari ayat-ayat Allah, padahal kamu mengetahui (kebenarannya).” (Ali Imran 3:70)
“Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur adukkan yang haq dengan yang bathil, dan menyembunyikan kebenaran, padahal kamu mengetahui?” (Ali Imran 3:71)
“Hai orang-orang yang telah diberi Al Kitab, berimanlah kamu kepada apa yang telah Kami turunkan (Al Qur’an) yang membenarkan Kitab yang ada pada kamu sebelum Kami merobah muka (mu), lalu Kami putarkan ke belakang atau Kami kutuk mereka sebagaimana Kami telah mengutuk orang-orang (yang berbuat ma`siat) pada hari Sabtu. Dan ketetapan Allah pasti berlaku.” (an-Nisaa’4:47)
“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang diberi bahagian dari Al Kitab? Mereka percaya kepada jibt dan thaghut, dan mengatakan kepada orang-orang kafir (musyrik Mekah), bahwa mereka itu lebih benar jalannya dari orang-orang yang beriman.” (an-Nisaa 4:51)
kesemua ayat2 di atas jelas menerangkan bahawa ahli2 kitab telah pun menyeleweng daripada ajaran Taurat dan Injil sejak daripada zaman Nabi SAW lagi.. Maka beliau mengatakan bahawa meletakkan syarat bahawa ahli kitab yang boleh dikahwini hanyalah yang mengamalkan ajaran asal injil adalah tidak tepat sama sekali. Jika di Malaysia tidak di benarkan perkahwinan dengan ahli kitab, maka tidak boleh dikatakan bahawa islam melarang perkahwinan dengan ahli kitab. Amalan ini dibenarkan di banyak negara termasuk di Timur Tengah dan di Barat. Oleh yang demikian, di sana di bolehkan orang islam memakan daging yang di sembelih oleh orang2 yahudi.
Pemerintah di dalam sesebuah negara boleh melarang umat islam di bawah pemerintahannya daripada mengamalkan perkara ini.. Ia juga seperti diharamkan untuk melafazkan talak di luar mahkamah di negara kita. Ia adalah termasuk di dalam perkara siyasah syar’iyah.
Oleh itu, mungkin kita boleh melihatnya sebagai satu bentuk khilaf kerana terdapat juga yang mengharamkan perkahwinan ini dan ada juga yang hanya mengkhususkan kepada perempuan ahli kitab yang mengamalkan ajaran kristian Coptic di Mesir..
[to Nemo]
Dalam kuliah maghrib Ustaz Azhar Mohd (pensyarah UIAM) pada malam tadi (21 November 2008) di Surau Bukit Mulia, (Bukit Antarabangsa, Ampang), kami telah membincangkan tentang tafsir al-Quran, berkaitan dengan sikap bani Israel terhadap nabi Musa setelah menyeberangi Laut Merah.
Sesi soal jawab, saya telah mengemukakan soalan berkaitan isu ahli kitab, samada ia wujud atau tidak lagi zaman sekarang. Beliau menerangkan bahawa masih wujud lagi ahli kitab zaman sekarang dan halal bagi kita untuk memakan sembelihan mereka ataupun berkahwin dengan mereka. Tetapi menurut beliau, mereka perlulah benar-benar ada pertalian darah dengan Nabi Yaakob (keturunan baginda).
Saya mengemukakan satu soalan lagi, bagaimanakah pula hukumnya terhadap mereka yang telah mengubah kitab, seperti kitab Bible? Adakah mereka masih dikatakan sebagai ahli kitab. Beliau berpendapat, mereka masih lagi dikatakan sebagai ahli kitab, dan sembelihan mereka masih boleh dimakan begitu juga soal perkahwinan.
Pendapat saya, bagi saya bersikap untuk lebih berhati-hati dalam setiap hal yang berhubung dengan perkara-perkara seperti ini adalah lebih penting, untuk menjaga kewarakan kita terhadap agama yang kita sayangi ini.
“Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. beliau berkata:
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.”
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.”
Rujukan: Hadith 40 (Hadith ke 6)
Selesai solat Isya’, ada sedikit jamuan ringan, saya makan sekali dengan seorang jamaah. Kami timbulkan isu tadi, dan dia menyentuh soal halal haram sesuatu perkara (makanan). Dia juga terlibat dalam proses halal haram, dan baginya, isu seperti ini tidak boleh diusul terlalu jauh. Cukuplah kita mengambil pendapat ulama’ dan berpegang dengannya.
Wallahua’lam
salam ziarah,
ana pun peminat novel,
saja nak bagi pandangan.
ya, novel memang membawa ideologi,
berhati mendalami novel dan berhati-hati dengan kandungan novel.
Salam…
Saya tidak pasti macam mana nak komen hal ini kerana ternyata novel/cerita yang membangun jiwa bisa juga jadi novel/cerita yang menghanyut jiwa kepada tipu daya syaitan yang pelbagai bentuk. Contohnya dalam kita menghayati cerita filem Ayat-Ayat Cinta, mungkin ada yang sedar bahawa pelakonnya tidak menutup aurat dan bergaul bebas sekaligus melanggar syariat Islam itu sendiri. Namun ingin saya kongsikan adanya sebuah buku baru bertajuk Mayat-mayat Cinta (sebuah risalah penegur jiwa) yang boleh diview di sini http://al-ilmu.com/books/detail.php?id=1362 .
Wkmslm..[hanani dan ii].
Terima kasih atas info yang Hanani kongsikan, dan maaf sebab lewat saya reply komen ini..
Bagi saya, novel Ayat-Ayat Cinta telah memberi suatu alternatif (jalan lain) untuk memberi kefahaman dikalangan masyarakat Islam yang gerun untuk ke kuliah agama.
Sekurang-kurangnya ia telah memberikan suatu manfaat dalam koleksi novel yang banyak menegur kita terhadap isu cinta.
Walau bagaimanapun, saya tetap akan berkata, pembaca novel perlu mempunyai asas ilmu dahulu sebelum menilai apa yang dibacanya.
Jika tidak, ia akan menghanyutkan pembacanya seperti yang Hanani katakan.
Filem ayat-ayat cinta adalah berasaskan kepada novel ayat-ayat cinta… Dan semestinya pengarah filem tersebut bukannya pengarang novel ayat-ayat cinta.
Sudah pasti kedua-duanya mempunyai kefahaman dan sentuhan yang berbeza.
Sudah semestinya juga, Filem ini tidak bercirikan nilai Islam. Ia hanya lakonan, dan seseorang pelakon yang tidak biasa dengan akhlak yang baik pasti kekok untuk melakonkan watak yang baik.
Hanya pendapat saya,
Wassalam..
penat sungguh saya membaca komen2 semua tentang perkahwinan la itu la…
aduish.. kite telah lari dari sebab kenapa penulis novel itu..
yang saya pasti setelah membacanya, ia bukan sekadar cinta fahri, aisya dan maria.
ia lebih dari itu, baca lebih lanjut klik:
http://saifulislam.com/?p=4127
wallahua’lam