Masjid dan Hijrah
Insya Allah, ramai dikalangan kita mengetahui peritiwa Hijrah nabi ke Madinah walaupun tidak secara mendalam. Dalam peristiwa ini banyak pengajaran yang dapat diambil. Antaranya adalah rahsia pembinaan Masjid oleh Baginda s.a.w.
——————–

Daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika Hijrah ke Madinah, jelas kepada kita Nabi s.a.w. tidak singgah di satu-satu tempat melainkan perkara pertama yang dilakukan ialah membina masjid sebagai tempat orang-orang mukmin berhimpun. Baginda telah membina Masjid Quba ketika bermukim di situ selama empat hari. Baginda juga telah membina sebuah masjid di pertengahan jalan antara Quba dan Madinah, apabila tiba waktu solat Jumaat di perkampungan Bani Salim bin Auf di tengah-tengah wadi tersebut, Wadi Ranuna.
Apabila Baginda sampai ke Madinah, kerja pertama yang dilakukan ialah membina masjid di situ. Ini menunjukkan kepada kita, kepentingan masjid dalam Islam. Semua ibadat dalam Islam berperanan membersihkan jiwa, menyucikan akhlak dan menguatkan ikatan tolong menolong sesama orang Islam. Solat berjamaah, solat Jumaat dan solat dua Hari Raya merupakan lambang zahir yang cukup kuat kepada perpaduan orang Islam. Ia menjadi lambang kesatuan perjuangan dan matlamat, juga lambang kerjasama dalam kebajikan dan taqwa. Tidak ragu lagi, masjid membawa mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang agung kedudukannya dalam kehidupan orang Islam. Ia berperanan menyatukan saf-saf, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah serta mempamerkan kekuatan dan kekukuhan mereka.
Sejarah masjid dalam Islam membuktikan ketumbukan-ketumbukan tentera Islam dilancarkan dari masjid untuk meliputi muka bumi dengan hidayah Allah. Dari masjid juga terpancar sinaran cahaya kebenaran dan hidayah kepada orang Islam dan bukan orang Islam.
Di dalamnya juga benih-benih tamadun Islam tumbuh subur dan berkembang. Bukankah Abu Bakar, Umar, Othman, Ali, Khalid, Saad, Abu Ubaidah dan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam yang lain merupakan anak-anak murid sekolah Muhammad yang berpusat di Masjid an-Nabawi?!
Keistimewaan lain bagi masjid dalam Islam ialah, pada setiap minggu akan berkumandang dan bergenia kalimah kebenaran melalui lidah khatibnya. Khatib-khatib berkhutbah mengingkari kemungkaran, menyuruh makruf, menyedarkan kelalaian, menyeru agar bersatu, menentang si zalim, atau memberi amaran kepada thaghut. Kami dapat saksikan semasa zaman kanak-kanak, bagaimana masjid menjadi pusat pelancaran gerakan-gerakan nasionalis melawan penjajah Perancis. Para pemimpin jihad juga berpaut pada masjid untuk menentang penjajahan dan Zionis. Pada hari ini kita lihat masjid tergendala daripada melaksanakan tugas terbesarnya. Fenomena ini tidak lain merupakan dosa sesetengah khatib di kalangan pegawai-pegawai upahan atau orang-orang jahil yang alpa. Pada hari para pendakwah yang tegas berpegang dengan kebenaran, alim dengan syariat, ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya, penasihat kepada pemimpin-pemimpin orang Islam dan rakyatnya menaiki mimbar masjid dan mengimamkan pengunjungnya, masjid akan kembali ke tempat kepimpinan dalam organisasi kemasyarakatan kita. Pada ketika itu masjid kembali berperanan mendidik ramai tokoh, mengeluarkan sebilangan wira, mengislah kefasadan, memerangi mungkar juga membina masyarakat di atas asas ketaqwaan kepada Allah dan mengejar keredhaan-Nya.
Kami berharap masjid dapat berfungsi sedemikian (insya Allah) apabila golongan perintis yang suci murni menduduki mimbar-mimbar dan seluruh ruangnya. Mereka dari kalangan pemuda-pemuda yang beriman, berpengetahuan tentang agama Allah dan berakhlak dengan akhlak Rasulullah s.a.w..
(sumber: Sirah Nabi Muhammad s.a.w Pengajaran dan Pedoman; Dr. Mustafa as-Syibaie)
——————–
Jadi setiap apa yang nabi lakukan dan apa yang nabi anjurkan, pasti mempunyai hikmah yang tersendiri. Hanya terpulang kepada kita sahaja samada mendalaminya secara ilmiah ataupun membiarkan ia umpama air lalu sahaja. Semoga kita terus menerus mendapat hidayah dari Allah untuk memahami semua perkara yang dianjurkan dan dapat mengamalkannya. Insya Allah.