Penyakit Was-Was

solat-itu-tiang-agama

Selamat Tinggal Was Was

Memang sukar sekali, jika diperhatikan mereka yang mengidap penyakit was-was ini. Paling mudah kita lihat ketika takbiratulihram. Berkali-kali mereka yang berpenyakit ini melafazkan niat, dan berulang-ulang takbiratulihram. Kata hati mereka, niat belum hadir masa takbir, nantikan batal pula solat sebab tak hadir niat.

Kebanyakan penyakit was-was ini menyerang kepada mereka yang mula ingin membuat yang terbaik dalam ibadahnya, dan mereka seboleh-bolehnya ingin memastikan ibadahnya (solat, wudhu’ contohnya) benar-benar sah daripada sudut feqah. Tahniah diucapkan, sebab kita memang perlu sentiasa melakukan yang terbaik. Cuma, berhati-hati dengan penyakit was-was bagi mengelakkan kita ditipu oleh syaitan, walaupun ketika beribadah.

Sasaran pada kebiasaan penyakit was-was.

Selalunya, penyakit was-was ini menyerang pada beberapa tempat utama. Kita fokus dalam bab solat dan wudhu sahaja dahulu. Antara tempat yang selalu ‘diserang’ ialah:

  1. Takbiratulihram dan niat – jika diperhatikan, kita akan melihat ‘pesakit’ akan menggeletar atau berulang-ulang dalam takbir pertama. Hingga mengganggu makmum yang lain.
  2. Bacaan Fatihah – selalunya ‘pesakit’ akan membacanya dengan kuat terutama pada huruf ‘ha pedas’ dan ‘waladhaalin’
  3. Tahiyyat – selalunya ‘pesakit’ akan mengulang-ulang ayat yang melibatkan ‘ha pedas’ dan juga bacaan syahadah

wudhu:

  1. Ketika lafaz wudhu
  2. Ketika membasuh muka
  3. Pesakit akan membasuh dengan begitu teliti hingga terlibat dengan pembaziran air yang amat sangat.

Terapi Penyakit Was-was

Masalah was-was ini berkait dengan hati. Ia akan memberi kesan yang dalam terhadap hati, terutama bagi pesakit yang sudah lama terdedah dengan penyakit ini. Makin lama ia sakit, maka makin susah untuk diubati.

Tiada sesiapa yang mampu memberi pertolongan secara mutlak, melainkan pesakit itu sendiri yang perlu merawatnya dengan bersedia menjalani terapi sendiri.

  1. Berdasarkan pengalaman, apa yang perlu adalah doa kepada Allah kerana Allah jua yang memiliki hati manusia, dan Dia juga yang mampu membolak-balik hati-hati manusia.
  2. Amalkan surah an Nas
  3. Tidak dapat tidak, pesakit perlu mendalami ilmu feqah untuk mengetahui dengan lebih jelas tentang bagaimana solat itu terbatal, apa itu niat solat, bagaimana bacaan dalam solat dan bagaimanakah situasi yang boleh dikatakan terbatalnya solat seseorang itu. Ini kerana, kebanyakan pesakit lebih suka membuat andaian sendiri, dan dengan itu suatu ibadah itu menjadi lebih sukar daripada yang sepatutnya.
  4. Pada lafaz niat, kita perlu tahu bahawa lafaz niat ini bukan suatu yang rukun, dan ia hanya sunat bagi membantu hadir niat semasa takbiratulihram. Jadi tidak menjadi masalah untuk melafazkan niat dalam bahasa melayu.
  5. Pada niat pula, kita perlu tahu, yang perlu hadir dalam niat ada tiga sahaja, Qasad, Ta’rudh, Ta’yin.
      1. Qasad – Kita buat dengan sengaja/sedar (bukan tengah tidur ke contohnya)
      2. Ta’rudh – Apa yang kita buat – Solat
      3. Ta’yin – Kategorinya – Fardhu Subuh
      4. Maka telah selesai jika hadir niat itu seperti ini “Aku Solat Fardhu Subuh”, cuma jika kita makmum niat seperti ini “Aku Solat Fardhu Subuh Makmum.
      5. Terapinya – paksa diri supaya maksimum takbir hanya 3 kali sahaja, dan jika hadir juga was-was, maka abaikan dan teruskan solat. Memang pada kali pertama, ia akan hadir gelisah, namun Insya Allah ia akan ‘sembuh’ nanti. Ingatlah Allah maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kita semua.
  6. Pada bacaan Fatihah – jumpa Ustaz/Ustazah untuk memperbetulkan bacaan Fatihah.
  7. Pada bacaan tahiyyat – betulkan dengan ustaz/ustazah.

Rasanya sekadar itu dahulu perkongsian daripada yang pernah mengalami penyakit ini. Semoga bermanfaat.

Wallahua’lam.

Ubati segera sebelum lebih parah

Saya petik daripada FB Dr MAZA Berkenaan WAS-WAS. Semoga bermanfaat. – Updated by DEC 2014 :

GANGGUAN WAS-WAS

Soalan:

Saya selalu was-was. Kalau saya ambil wuduk, saya selalu rasa tidak puas. Saya selalu syak rasa macam wuduk saya batal. Saya buat seperti diajar kepada saya agar saya mengurut kemaluan selepas membuang air kecil supaya pastikan habis air kencing. Tapi sejak itu pula was-was datang. Saya selalu rasa macam ‘terkencing’ atau ‘keluar angin’ masa solat. Sehingga saya selalu risau apabila hendak beribadah. Saya selalu berulang wuduk dan cuba memastikan tiada air kencing di pakaian saya.Apakah penyelesaiannya.

Faisal, Klang.

 

JAWAPAN DR MAZA:

Semoga Allah membaiki urusan saudara. Berikut beberapa perkara yang perlu saudara ambil perhatian;

  1. Perasaan was-was yang mengganggu ibadah adalah gangguan fikiran dan syaitan. Hindarkan jiwa dari melayannya. Ini kerana melayannya bererti mengikut kehendak syaitan yang cuba menghilang fokus seseorang kepada ibadah dan cuba menjadikan seseorang itu akhirnya bosan, bimbang dan jemu dengan ibadah. Para ulama seperti Ibn Jauzi (meninggal 597H), Ibn al-Qayyim (meninggal 751H) dan ramai lagi sejak dahulu menulis dalam berbagai karya untuk membenteras penyakit yang buruk ini.

 

  1. Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi s.a.w yang mudah dan senang dalam ibadah, terpengaruh dengan ajaran fekah yang suka menyusahkan orang ramai dengan berbagai petua yang membebankan, dan juga terlalu melayan gangguan perasaan. Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah s.a.w, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah s.a.w” (Ighathah al-Lihfan Min Masaid al-Syaitan, 134, Beirut: Dar Ibn Zaidun)

 

  1. Antara ajaran yang menyebabkan was-was ialah pendapat yang mewajib mengurut kemaluan selepas kencing. Tiada nas yang sahih dalam perkara tersebut. Hanya yang diperintah agar kita membersihkan diri dari air kencing, bukan disyaratkan mesti mengurut kemaluan sehingga dipastikan segala yang ada dikeluarkan. Anggapan bahawa jika tidak diurut sehingga habis tidak sah solat adalah tidak benar. Kata al-Syeikh Abd al-‘Aziz Ibn Baz r.h: “Adapun mengurut zakar agar keluar sesuatu adalah salah dan tidak wajar. Ia antara sebab berlakunya was-was dan tidak lawas. Hendaklah dihindari perkara ini. Sebaik sahaja terhenti kencing, maka berintinjak (cuci) dengan air…” (Ibn Baz, al-Fatawa al-Muta’allaqah bi al-Tibb wa Ahkam al-Marda, 35, Riyadh: Idarah al-Buhuth).

 

  1. Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi. Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insyaAllah”. (Ibn Qudamah, al-Syarh al-Kabir 1/94) Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis Al-Hakam bin Sufyan:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

“Bahawa Nabi s.a.w kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Riwayat Ahmad, Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll. Sekurang-kurang hasan kerana syawahid).

Nabi s.a.w melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita untuk mengelakkan was-was.

 

  1. Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi s.a.w mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Dalam hadis al-Bukhari, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi s.a.w:

لاَ يَنْفَتِلْ – أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ – حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

“Jangan berhenti sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”.

 

Maksudnya, Nabi s.a.w mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.

 

  1. Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sebahagiannya datang ajaran sesetengah guru yang suka memayah-mayahkan cara ibadah. Sedang Nabi s.a.w memberitahu kita:

إنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلاَّ غَلَبَهُ فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا وَأَبْشِرُوا

“Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu, elakkan mempelajari fekah dari guru yang suka berfalsafah sendiri dan berteori tanpa berlandaskan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.

 

  1. Orang yang selalu merasa was-was dalam ibadah sehingga melakukannya berulang-ulang kali, atau melayan perasaannya yang sentiasa merasa bebanan was-was hendaklah bertanyakan dirinya sendiri; untuk apa ia lakukan itu semua? Jika ia untuk Allah s.w.t, maka hendaklah dia tahu bahawa Allah tidak meredhai tindakannya melayan gangguan perasaan atau syaitan yang seperti itu. Layanan kepada perasaan was-was itu hanya mentaati syaitan atau ganggu emosi yang salah bukan mentaati Allah. Ikutilah arahan Allah s.w.t dan RasulNya tanpa melayan was-was. Was-was akan memalingkan seseorang dari mengikuti arahan Allah dan rasulNya secara betul.

 

  1. Al-Quran menceritakan bahawa senjata was-was ini jugalah yang digunakan oleh Iblis sehingga membawa Adam melanggar arahan Allah. Firman Allah:

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَاآدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى (120) فَأَكَلَا مِنْهَا فَبَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى

(maksudnya) “Setelah itu maka syaitan telah mewas-waskan kepada Adam dengan berkata: “Wahai Adam, Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap? Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu dia tersalah jalan. (Surah Taha: 120-121)

29 thoughts on “Penyakit Was-Was

  1. Assalamualaikum sahabat. itu hari ana ade perasaan was2 ketika solat. Masa tu dh tahiyyat akhir. ana rasa ana dh duduk antara 2 sujud. tapi ana masih merasa tidak sedap hati.seakan-akan ana tertinggal duduk antara 2 sujud. adakah saya perlu sujud sahwi ataupun tidak?? tlg ana wahai shabat.

  2. Assalamualaikum…mcm mne pula kalau kte waswas niat ape?cthnye mse solat asar tu kte dah yakin niat asar tp tiba2 trpkir btul ke solat asar?ia hadir bnyk kali..batal solat ke?

  3. Assalam ustaz, semasa berniat takbir serentak dalam hati ” aku sembahyang fardu…………, …….. rakaat sebagai makmum tunai kerana ALLAH taala..

    Fahaman sy itu yang saya faham
    Kalau diringkaskan lagi boleh ke? Supaya pergerakan tangan kedada seretak dgn niat

    Kalau sya sembahyang sebagai makmum perluke menyebut makmuman dlm niat.

    • Wkmslm,
      Cukup sekadar “aku solat fardhu subuh”
      Jika makmum “aku solat fardhu subuh makmum”

      Niat ini masa lafaz takbiratyl ihram “Allahu akbar”.. tak kira tgn sampai ke dada atau lain2..

      Sebagai terapi was2, apa yg saya diajar dahulu, disiplinkan untuk takbir 1 kali & hny maksimum 3 kali. Jika was2 jugak, abaikannya dan terus solat.
      Mula2 rasa pedihnya, lama2 sembuhlah ia dgn izin Allah.

      Sememangnya ubat itu pahit.

      Saya bukan seorang ustaz. Apa yg saya tahu, saya cuba kongsi, jika tidak tahu, saya katakan tidak tahu..

  4. Assalam uztas boleh dihuraikan niat sembahyang………. tunai ALLAHTAALA
    ……. kerana ALLAHTAALA selalu dlam penulisan kitab ada tulis begitu rasa keliru disitu. Adakah tunai ALLAHTAALA untuk sembahyang fardhu shj dan kerana ALLHTAALA pasa sembahayng sunat.

    • Tunai itu nk bgtau bhw kita ini mlakukan solat fardhu td dlm masa yg ditetapkan. Cthnya zohor dikerjakan dalam waktu zohor. Ia hny sunat dihadirkan dlm hati.

      Qadha pula sebaliknya.

  5. Assalamualaikum saudara. saya nk tanya. perlukah ulangi mandi wajib sekiranya kita tersedar ada daki di celah celah telinga. ?

  6. Assalamualaikum saudara
    Sy nk btnye dan hrp dpt mbantu
    Sy ni mmg de penyakit was was yg agak teruk
    Solat mesti 15 minit
    Was was bacaan,was was pergerakan dlm solat
    Takbir pon was was kdg2 bpuluh kali takbir
    Utk takbir leh ke kite bdiri n niat dlu bru agkt takbir?(cara mcm tu pon bkali2 takbir)
    Sbb bg sy nk wat takbir bsama niat mmg xleh..bantu lah sy…
    Skrg da rasa letih utk solat:-((

    • Wa’alaikummussalam,

      Seperti yang saya katakan, saya merupakan salah bekas seorang berpenyakit was-was ini, dan ia memang parah. Hinggakan pernah saya terlepas rakaat pertama bersama-sama imam hanya kerana was-was ketika takbiratulihram. Dan guru/sahabat saya melihat perkara ini menasihati saya (dan ia juga merupakan bekas pesakit was-was). Sahabat saya juga berkata kita ini ditipu syaitan dek kerana ingin mengejar kesempurnaan solat kononnya.

      Saya menjalani terapi dengan mengikut apa yang dia anjurkan. Ia amat perit. Kerana kita ini (pesakit was-was) seolah-olah berpenyakit jiwa. Dan ubatnya amat ‘pedih’.

      Sebenarnya, hakikatnya kita sendiri yang kurang ilmu, hinggakan menyebabkan perjalanan solat itu begitu sukar. Kita faham susun atur, batal sah solat itu secara literal. Dan sekarang, setiap kali bertembung dengan pesakit was-was dalam surau/masjid, terasa ingin sekali berkongsi pengalaman saya dan terasa ingin sekali untuk membantu beliau kerana saya tahu perit pedihnya penyakit was-was ini.

      Sekarang, usah biarkan ia terus parah, usah biarkan ia bersarang dalam hati. Perlahan-lahan kita rawat penyakit ini.

      Apa perlu ada pada minda kita ialah, tawakkal – setiap usaha kita ini adalah bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Nya, dan kejayaan itu bergantung penuh pada rahmat dan hidayah Allah taala. Dan sesunggunya Allah maha Pengasih lagi maha Penyayang. Dia lah segala-galanya, tempat kita bergantung. Kemudiannya, kita perlu ingat, apa-apa penyakit yang dirawat, ia akan beransur-ansur sembuh, bukan terus sembuh. Pahitnya ubat itu perlu kita tanggung kerana mengharapkan kesembuhan yang melegakan kelak.

      Soal Takbir, kita limit/hadkan takbir maksimum 3 kali sahaja, dan jika terasa tidak sah (gangguan was-was datang jugak), tolong abaikan. Teruskan solat.

      Perlu faham, bahawa niat itu sebenarnya menunjukkan kita sedar apa yang kita buat.
      Ambil contoh mudah, kesalahan bunuh dengan niat – pesalah tidak melafazkan niat dalam hati “Sahaja aku bunuh dia ini kerana dendam dan geram”, tetapi ia dikatakan ada niat itu apabila pesalah tadi berusaha untuk membunuh dengan harapan ia mati.

      Solat merupakan ibadah yang perlu dilakukan dengan sedar, jadi apa bukti ia sedar? Itulah yang dikatakan Niat. Niat bahawa kita ini solat zohor kerana Allah.
      Jadi, lafaz niat itu adalah bagi usaha untuk hadir niat ketika takbir. Untuk bantu kita ini solat dengan sengaja, dengan sedar.

      Tak perlu lafaz “sahaja aku solat fardhu zohor 4 rakaat kerana Allah” cukuplah dengan “aku solat fardhu zohor”. Dan terus takbir.

      Insya Allah, perlahan-lahan, anda akan nampak penyembuhan itu daripada Allah yang Maha Penyayang. Allah tidak kejam untuk menghalang orang-orang yang berusaha untuk menjadi baik dengan menyukarkan, sebaliknya Dia pasti memudahkannya. Amin.

      Wallahua’lam

  7. Assalamualaikum. saudara. apakah hukum menonton cerita yang berunsurkan magik dan berlaku lintasan hati syirik ketika menonton filem itu. adakah perbuatanitu dikira sengaja melahirkan lintasan hati ? adakah saya telah syirik ? mohon jawapan segera. TQ

    • Wa’alaikummussalam, Cerita berunsurkan magik? dan berlaku lintasan hati syirik?
      Lintasan tu pada saya, ia adalah godaan syaitan yang terkenal dengan kepakarannya mengganggu hati kita ini. Syirik dikira apabila lahir dalam hati secara YAKIN. Bukannya lintasan-lintasan gangguan tadi.

  8. Salam ustaz.. Bgaimane pule tuk hlgkan was2 dlam ati kite.. Ia dtg dlm ati kite scre brtalu… Cmne kita nk hlgkan die tnpe rase stress.. Stiap bgn pg lintsn y mncrut akn dtg dlm ati saye..

    • Wkmslm.. nak hilangkan was2..
      First, pohonlah kekuatan daripada Allah.
      Memohon dengan apa yg Allah mampu bagi (sudah pasti Allah boleh beri apa shj), bkn mohon sekadar apa yg kita mahu.

      Mohon agar Allah tunjukkan jalan keluar. Dan Allah akan beri. Allah itu Maha Hebat dan Luas Rahmat Nya. Tinggalnya, bagaimana cara yg kita dapat.

      Lazimkan bergaul dgn shbt2 yg mnjaga tutur kata… agar kebiasaan bnda2 baik meresap masuk dlm jiwa kita ini.

      Manfaatkan akal kita ini dengan bacaan yg bermanfaat, telinga dengan nasihat dan tazkirah.

      Insya Allah, jalan keluar pasti ada.

      Wallahua’lam.

  9. Salam ustaz. Sejak kebelakangan ini hati saya selalu terlintas benda2 yang boleh membawa kepada kekufuran padahal saya memang tak nak langsung. Ianya datang secara tidak terkawal. Saya sering menangis apabila lintasan itu datang. Macam mana nak menanganinya?

    • Wkmslm. Semoga Allah kurniakan kebaikan untuk mu, saya dan seluruh kalian muslimin.
      Syaitan tidak mungkin senang melihat peningkatan iman dalam diri bani Adam. Maka, ia akan berusaha sedaya upaya untuk membisik-bisik di telinga kita. Percayalah, ia tidak berlaku pada mu shj, malah kepada mereka yang lain.

      Dengan demikian, kita harus tahu yang Allah itu bersifat Maha Tahu daripada setiap keyakinan dalam hati kita dan sudah tentu Allah Maha Tahu yang lintasan kekufuran itu bukan daripada kita, bahkan ia daripada syaitan.

      Allah Maha Adil… Maka, abaikan bisikan2 itu.
      Sentiasa bersangka baik (husnu dzan) terhadap limpahan nikmat dan rahmat Allah, yang mana mustahil bagi Allah berlaku zalim…

      Wallahua’lam

      • Terima kasih ustaz.. Moga Allah merahmati ustaz. Dah 3 bulan saya macam ni.. Doakan saya sembuh ye ustaz..

  10. As-salam ustaz,

    Kalau kita ragu-ragu/was-was dalam sebutan bismillah dan bacaan Al-fatihah, sah ke solat kita kalau kita terus kan?

    Saya mengalami was-was ketika hendak lafaz kan bacaan bismillah dan Al-fatihah. Macam tidak kena bila baca. Kadang-kala lebih pada 10minit asik mengulang bacaan.

    Adakah sah solat saya kalau saya teruskan sahaja solat saya sekiranya saya teruskan sahaja dengan bacaan saya yang saya rasa tak sempurna dan tak betul?

    Adakah cara untuk mengubatiny-?

  11. As-salam ustaz,

    Kalau kita ragu-ragu/was-was dalam sebutan bismillah dan bacaan Al-fatihah, sah ke solat kita kalau kita terus kan?

    Saya mengalami was-was ketika hendak lafaz kan bacaan bismillah dan Al-fatihah. Macam tidak kena bila baca. Kadang-kala lebih pada 10minit asik mengulang bacaan.

    Adakah sah solat saya kalau saya teruskan sahaja solat saya sekiranya saya teruskan sahaja dengan bacaan saya yang saya rasa tak sempurna dan tak betul?

    Adakah ada cara untuk mengubatinya?

    • Wa’alaikummussalam Tuan,

      Sebaiknya teruskan solat, jangan hiraukan lagi mainan syaitan tersebut.
      Penyakit perlukan ubat, dan ubatnya pahit. Begitu juga analogi untuk penyakit was-was ini. Kita hadkan ulang baca tersebut kepada 3 kali sahaja, jika lebih ia bukan lagi menambah baik lagi, malah memburukkan keadaan.

      Apa yang telah diajarkan kepada saya, juga oleh seorang Ustaz (pernah was-was juga), penyakit ini perlu diubati dengan terapi. Apa itu terapi? Ia adalah cara ubat yang berterusan. Dengan izin Allah yang maha luas rahmat Nya, Alhamdulillah, saya berjaya mengatasinya. Namun, benar, pahit sungguh ubatnya.

      Walaupun terasa tidak sempurna atau tidak betul, abaikan, kerana hak menilai itu bukan ditangan kita. Selagi mana kita telah lakukan yang terbaik, mengikut aturan yang diberikan dan diajarkan oleh Baginda Nabi s.a.w, maka tawakkal lah kepada Allah. Husnu Dzan (bersangka baik) kepada Allah, yang mana Allah akan menerimanya.

      Teruskan istiqamah melawan kehendak hati yang batil itu (was-was), dan yakinlah, Allah tidak akan sia-siakan usaha kita dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan jalan yang benar.

      Semoga Allah berkati Tuan dan saya. Wallahua’lam.

      • Terima kasih banyak-banyak atas pencerahan.

        Insyaallah, saya akan cuba praktikan apa yang diajar.

  12. As-salam Ustaz,

    Saya nak bertanya tentang permasalahan niat yang seterusnya mengakibatkan was-was.

    A) Niat ketika Wudhu

    1)Adakah sah wudhu seseorang itu sekiranya dia hanya melafazkan niat (arab) dimulut ketika air bertakung ditangan sebelum sapu ke muka?

    (Dia tak berniat dalam hati ketika air sampai ke kulit muka sebab dia dah lafaz niat (arab) )

    2) Adakah sah wudhu seseorang itu sekiranya dia berniat di dalam hati ketika air hampir sampai ke muka?

    (Air belum sentuh kulit, cuma air sikit sahaja lagi nak sampai dekat kulit muka dah terlintas niat “sahaja aku…” di dalam hati kerana berhati-hati tak nak was-was)

    3) Adakah sah wudhu seseorang itu sekiranya dia tidak melafazkan niat (arab) dan dia tidak berniat di dalam hati ketika air sampai ke kulit muka?

    Sampai tempat wudhu, Dia terus sahaja sapukan air ke muka. Sebab, ketika kita nak ke tempat berwudhu itu bukan kah sudah di kira ada niat untuk berwudhu?

    B) Niat ketika solat

    1) Adakah sah solat seseorang itu sekiranya dia hanya melafazkan niat (arab) tetapi dia tidak berniat di dalam hati ketika takbir?

    2) Adakah sah solat seseorang itu kalau dia tidak melafazkan niat (arab) dan dia tak hadirkan niat “sahaja aku…” Di dalam hati ketika takbir?

    Bukan kah ketika seseorang itu berdiri dia tahu yang dia hendak mendirikan solat? Jadi adakah dia masih perlu menyusun niat di dalam hati?

    Harap Ustaz dapat membantu dengan permasalahan ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s