Perginya Ramadhan.

Sinar matahari 29 ramadhan 1430h sedikit demi sedikit ditelan pekat malam. Mata-mata mereka yang istiqamah dengan ramadhan basah diairi jernih air mata, antara sedih dan gembira. Sedih dengan pemergian ramadhan, juga risau adakah masih sempat dengan Ramadhan seterusnya. Namun perasaan gembira juga bercampur jauh di sudut hati bersih mereka, kerana dengan izin Allah taala, mampu disudahkan rukun Islam ini hingga ke penghujungnya.
Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, iaitu apabila ia berbuka, iapun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, iapun gembira dengan adanya amalan puasanya.” (Muttafaq ‘alaih)
Kenapa perlu hairan?
Ya, kenapa perlu hairan… Sebulan ramadhan, mata-mata kita pasti dapat memerhatikan pertambahan jemaah surau dan masjid. Kalau dahulu kedua-dua belah kaki terasa berat menanggung beban badan untuk dua rakaat solat sunat selepas Isyak, sekarang… dalam bulan ramadhan ini, kaki yang sama terasa begitu ringan menanggung beban badan yang sama untuk lapan rakaat selepas Isyak, malah ada yang lebih dari itu.
Tentu tidak pelik bagi kita memerhatikan pelbagai perubahan positif yang lain berlaku sekitar kita dalam bulan Ramadhan. Namun memang benar, istiqamah itulah yang sukar.
Istiqamah dalam sesuatu kebaikan lebih mahal nilainya daripada kemuncak ibadah pada awal ramadhan yang mempunyai tempoh. Mungkin benar jika dikatakan bahawa kemenangan bagi sesiapa dalam bulan Ramadhan itu ialah bagi sesiapa yang mampu istiqamah atau kekalnya dalam perkara ibadah umum dan khusus sebelas bulan berikutnya.
Realitinya, kehadiran Eidilfitri bukan setakat dihidangkan dengan rendang dan ketupat sahaja, malah lebih daripada itu. Seolah-olah Ramadhan tidak pernah berlaku sebelumnya, apabila 1 Syawal disambut dengan pelbagai hiburan yang sememangnya tidak munasabah pada nilaian Islam. Apa tidaknya jika kita seolah-olah diserang habis-habisan setelah sebulan membina benteng dan kubu… televisyen, radio, rumah tebuka, fesyen dan pelbagai macam lagi.
Hanya Abu Bakar seorang sahaja yang masih teguh jiwanya. Beliau masuk menziarahi Rasulullah s.a.w. sedang Baginda kaku diselubungi (selimut) di atas katilnya. Beliau lantas mengucupi Baginda seraya berkata: “Aku tebus kamu dengan bapa dan ibuku, wahai Rasulullah! Alangkah eloknya kamu ketika hidup mahupun mati! Kematian yang Allah suratkan kepadamu telah kamu rasai. Kamu tidak akan ditimpa kematian lagi selepas ini untuk selama-lamanya. Wahai Rasulullah, ingatilah kami di sisi Tuhanmu.” Kemudian Abu Bakar keluar menemui orang ramai. Beliau berucap kepada mereka seraya berkata: “Wahai manusia! Sesiapa yang menyembah Muhammad. Muhammad telah mati. Sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati.” (Sirah Nabi Muhammad s.a.w. Pengajaran dan Pedoman; Dr Mustafa as-Syibaie)
Maka, sesiapa yang menyembah Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan telah pun pergi, dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati.




